Friday, September 26, 2008

Talqin di kamar suluk!

..sedang Wak beriadah dengan memulangkan segala puji-pujian kepadaNya tiba-tiba wak kepanasan. Apabila mata dibuka, Wak tidak dapat melihat kerana seluruh kamar wak menjadi terang. Ada cahaya yang terlalu terang menyilau hingga Wak tak mampu melihat apa-apa..(anehnya kita selalu memerlukan cahaya untuk melihat)



"Siapa Tuhan Kamu?"

suara itu...entah siapa..tapi Wak dapat rasa ia datang dari "diri " Wak sendiri..tapi bukan dari mulut tapi dari Wak tapi bukan dari sebarang bunyi yang bisa Wak keluarkan..

tapi dari Wak!



"Siapa Tuhan Kamu?"..Wak mahu menjawabnya tapi mulut tak mampu bersuara..panas makin menggigit..ingatan tiba-tiba makin pudar terhadap "nama" itu..bagaimana hendak menjawab?



"Aku selalu lihat kau menyebut nama itu..beribu-ribu dengan tasbihmu, mengapa hari ini kau tidak mampu menjawabnya?"



Wak kumpulkan ingatan yang entah kenapa menjadi lemah...bayangan tulisan huruf kalimah namaNya terlintas di hadapan Wak..Ya! Wak dapat mengecam tulisan bernama itu...tetapi ah!! ia perlahan-lahan berkecai dan hilang!



"Apa yang kau sebutkan selama ini?"



entah! wak tak tahu..Wak selalu menyebut nama itu dengan bantuan suara dan huruf.ya! Alif Lam Lam Ha!

Tapi itu huruf! Bagaimana bisa wak jelaskan kepada sang suara itu siapa Tuhan Wak kalau suara dan huruf sudah tidak diperlukan lagi?

Bagaimana bahasa hendak digunakan?

Hendak menunjukkan namanya dengan sebutan, huruf dan suara tiada lagi...

hendak mengecam dzat yang dikatakan wujud, Wak tak bisa melihat maujudnya! Wak tak mampu menghuraikan "rupa" dan "wajahNya"!

Hendak membayangkan bagaimana sifatnya Wak tak dapat menggapainya!

Hendak menghuraikan afa'alNya Wak tidak mengenal lagi..



Ya! Wak bagai melihat bayang selama ini tapi tak bisa menangkap dan memeluk bayang itu..Wak cukup pandai bercerita tentangnya tetapi Wak belum dapat membuka pintuNya!

Walhal pintuNya mana pernah tertutup.......



Cahaya itu pergi dan enggan menyoal lagi kerana Wak sudah gagal soalan pertama!

Panas tadi masih terasa bagai menyiat kulit-kulit ini......

sing ono orak ono! sing orak ono ono!

... malam tadi Wak ditalqin sang suara di lobang suluk Wak!
Apa kisahnya....? Wak akan ceritakan beberapa jam lagi..
tapi tiba-tiba puisi Khalid Salleh ini menghentam otak Wak mengajar-ngajar sesuatu!

puisi: Bukan Apa-Apa

sing ono orak ono
sing orak ono ono
sebenarnya bukan apa-apa
di sini dan di mana mana
begitu begini begitu jua
sama saja
bukan apa apa

sing ono orak ono
sing orak ono ono
sebenarnya bukan siapa siapa
di sini dan di mana mana
begitu begini begitu jua
sama saja
bukan siapa siapa

sing ono orak ono
sing orak ono ono
sebenarnya tiada apa apa
kerana kita memang tidak ada apa apa
begitu begini begitu jua
sama saja
tidak ada apa apa

sing ono orak ono
sing orak ono ono
tapi sebenarnya memang ada apa
di sini dan di mana mana
begitu begini begitu jua
ada apa apa
cuma kita kurang mengerti
kerna telah terlalai sekian lama leka
dihanyutkan mimpi
yang bukan apa apa!


* sing ono orak ono (yang ada tak ada)
sing orak ono ono (yang tak ada ada)

Monday, September 22, 2008

aku tetamu Allah?

Suatu hari paman Wak dari Demak menziarahi Wak dan bermalam di rumah Wak selama 7 hari 7 malam. Sebagai tetamu, Wak melayaninya dengan begitu baik, setiap hari Wak memasak dan menyediakan makanan yang lazat dengan minuman yang enak.

ketika hendak pulang ke Demak 7 hari kemudian dia mengajak Wak berkunjung ke rumahnya di Demak dan menginap beberapa hari di sana.

"Akanku ajarkanmu tentang ketulusan dan keikhlasan budi."



"Mengapa? Apakah aku salah melayanimu? tanya Wak.

"Kau terlalu berlebihan. Layanilah tamu seperti kau melayani dirimu sendiri seadanya kerana ia tak menyusahkanmu, jadi setiap pertemuan dan perpisahan akan menyenangkanmu.sebaliknya jika kau berlebihan pertemuan itu akan menyusahkan kau dan perpisahan pula melegakanmu"



Pada suatu ketika Wak bersama 5 orang kawan berkunjung ke rumahnya di Demak. Kami sampai malam dan dia menyambut kami dengan menyalakan 6 batang lilin hingga pondok kecilnya terang-benderang.
"bukankah itu terlalu berlebihan?" protes Wak.

"cobalah kau padamkannya!"pinta paman. Aneh, beberapa kali Wak cuba meniup, lilin-lilin itu tidak mahu padam. Cuma sebatang saja padam dan lima yang lain tetap utuh menyala.

"5 lilin yang kunyalakan kerana kamu adalah tamu titipan Allah sedang satu yang padam tadi kunyalakan untuk diriku sendiri. Kau dulu berbuat baik untuk aku sedang aku berbuat keranaNya, maka itu ia tak membazir!". jelas paman.

Saturday, September 20, 2008

Part 3- Esoknya Lisut pun hilang!

Gotong-royong persiapan kenduri kahwin rumah Hj. saidin sedang giat. Orang2 kuat sibuk bekerja, kaum ibu di bangsal berhampiran dapur. Orang tua lelaki di balai. Wak bukan keramat hidup yang memencil diri dari masyarakat. Wak turut sama menyiang daging sambil berborak. Lisut membebel sambil minum kopi dan biskut percuma.
Anak-anak ada yang berlatih untuk majlis khatam Quran pagi esok sebelum acara persandingan. Ada kumpulan nasyid anak-anak sedang melagukan 'Sifat 20'.

"uhh! Kalau Allah bersifat bukan Tuhanlah Dia..yang bersifat itu makhluk!" ketawa sinis Lisut mengejutkan kaum-kaum bapa.
"Astaghfirullahal'azim! nasib baik kau gila Lisut!Kalau tidak mati kafir kau!" marah Bilal kampung, Haji Marzuki.

Temasya persiapan berlarutan sampai malam. Tiba-tiba entah kenapa satu kampung terputus bekalan elektrik.BLACKOUT!..
mujurlah tak sampai 30 minit, itu pun dah kelam kabut. Hj saidin dah pucat!..tapi peliknya hanya rumah Hj Saidin saja yang terang sementara seisi kampung masih kegelapan...

Ketika Wak nak ke bilik air Wak ternampak Lisut sedang memegang wayar lampu yang disambungkan ke extension soket..sebab itu lampu menyala!
Wak terkejut dan Lisut juga terkejut..Ahh! masakan begitu?
dia menyuruh Wak diam dan Wak akur....

Esoknya waktu kenduri Wak tidak nampak lagi kelibat Lisut sehingga ke hari ini!

Thursday, September 18, 2008

Part 2- Lisut Gila si wali keramat?

I

sejak itu sering juga Wak ke pondok bersih Lisut untuk berborak dengannya. Pondoknya walaupun usang tetapi bersih dan dia menghiasi pondoknya dengan baldi-baldi berwarna-warni. Selalunya lisut akan merepek-repek..cuma sesekali dia akan berbicara seperti orang normal..sekejap saja seputar 10 minit..lepas itu dia akan terus membebel merapu..

"rukun sembahyang ada 13 dan terawal berdiri tegak? Bagaimana kalau kau tempang dan tak mampu berdiri tegak? kau dah langgar rukun..tak sah solat..rukun nikah kalau tak sempurna sahkah nikah? Lisut tiba-tiba bertanya dalam keadaan matanya memandang ke arah lain!

"Allah Maha penyayang Pak chot! Sudah tentulah duduk pun boleh," Ronasina sengaja menjawab begitu seolah-olah cuba menabur umpan..

"Ini rukun tau? Mana boleh dilanggar!! sedangkan Rukun Negara pun kena patuhi inikan rukun solat!" Wak tersengih mendengar kenyataan Lisut sambil mengenyit mata pada Rona..Kulup Sakah hanya diam seperti biasa..

"memanglah kau boleh duduk, baring atau tergolek kalau tak larat, tapi berdiri tegak yang dimaksudkan adalah aqidah kau terhadap Dia dan ketauhidanmu pada Yang Maha Esa! Kalau itu tidak berdiri tegak, solat di syurga pun takkan sah!"....dan Lisut kemudiannya menyanyi lagu Jepun..entah apa maksudnya entah betul atau tak, Wak tak tahu.....

II

Pernah satu ketika Wak lihat dia selamba je kencing di tepi jalan di pekan tempat orang lalu lalang..

Wak : Eh Lisut! Kau tak malu ke kencing tengah orang ramai ni?

Lisut : apa nak malu? Mana ada "insan" di sini! aku nampak semuanya haiwan yang tahu makan minum dan mengawan...

soalan maut Lisut Gila!

Lisut, siapa yang tak kenal dengan dia..satu kampung dari kecil hingga orang tua kenal dengan Lisut. Orang gila kampung yang disisihkan keluarga, tinggal di pondok tepi kebun berhampiran rumah pusaka arwah ayahnya. Adik beradiknya ada yang tinggal di sini dan sesekali ada juga anak saudaranya datang memberi nasi bekal. Tapi Lisut tetap Lisut, lebih senang menyendiri dari melayan orang2 gila yang mengaku normal. Gila kuasa, darjat, gila nama dan pangkat. Gilanya tidak menyusahkan orang, sebaliknya membantu orang. Kerjanya mudah saja, setiap hari dia ke pekan membawa baldi dan tuala. Di sana dia akan mencuci kereta orang-orang yang parking di pasar tanpa disuruh. Kerana simpati dan menghargai kerja bersihnya yang teliti, dia dibayar seringgit dan kadang2 lebih....

Kadang2 selepas mencuci kereta dia akan menari sambil menggendangkan baldinya. Asyik sungguh dia menari dan menyanyi. Kelakuannya mengundang ketawa orang awam. Sekali tu semasa Wak sedang berjalan dengan Ronasina, Lisut berkawat seperti askar..Ronasina tersenyum kerana kawatnya tak sama dengan sebutannya..Dia menyebut kiri..kanan..kiri..kanan sedang lenggangnya kanan kiri kanan kiri! Anehnya Wak tak dengar kiri kanan kiri kanan tapi Wak dengar "La ilaha Illallah" berulang kali seperti dia berzikir. Mati-mati Ronasina mengatakan kiri kanan tetapi telinga Wak tetap dengar zikir tahlil itu"..

Entah kenapa tiba-tiba Lisut berdiri di hadapan kami dan bertanyakan sesuatu. Lisut kenal Wak kerana Wak selalu belanja dia teh..
"Wak! Malaikat Jibril kerjanya menyampaikan wahyu kepada Rasul! sekarang Rasul dah wafat, Jibril pencen ke? Atau dia buat kerja basuh kereta macam aku?"
Lisut terus berjalan sambil berkawat bertahlil!

Ronasina menggaru-garu tengkuknya memandang Wak........

Tuesday, September 16, 2008

Iblis di malam Al Qadar! (Berdialog dengan Iblis- part 4)

Silbi datang ketika sepertiga malam berlabuh! Ketika wak berehat sebentar dari latihan amalan Wak untuk minum..ah! mengapa pula air minum wak jadi beku seperti agar-agar?

Silbi : wah! sungguh-sungguh beramal, cari Lailatul Qadar?

Wak : bukan aku cari lailatulQadar... dia yang cari aku!

Silbi : eleh! sombong..tu nak cuba ek dengan akulah tu.. nak tunjuk tak gentar dengan
godaan aku! hihi! Mana ada lailatulQadar!

Wak : siapa kata? habis "Inna 'anzalna hufi Lailatul Qadr" tu hapa?

Silbi : itulah hikmah dakwah ngok! ia sengaja diada-adakan agar membakar semula
semangat orang-orang yang dah mula tawar beribadat dan bertarawikh kerana
10 malam terakhir tu dah sibuk tawaf di bazar ramadhan, shopping kompleks...

Wak : aku setuju yang tu tapi mengatakan LailatulQadr tak wujud itu bohong!! Ia
terang disebut dalam Quran!

Silbi : apakah kau fikir malam Qadar itu hanya di 10 terakhir Ramadhan aje? tahukah
kau saban malam seluruh makhluk termasuk alam ini sujud taat kepadaNya!
Matahari, alam dan bulan berbentuk bulat kerana ketakwaan mereka 'bulat'
terhadapNya! Tiada sesaat mereka berhenti melaksanakan amanah Allah untuk
berbakti kepada manusia sepertimu! Tiada pernah mereka membantah seperti
mu untuk melaksanakan perintahNya..bayangkan sehari matahari engkar
perintah Allah untuk terbit dari timur, apa akan jadi kepada manusia?

Wak : Kau pun membantah juga bukan manusia saja!

Silbi : Aku tak pernah membantah perintah Allah agar menyesatkan anak cucu
Adam seperti yang aku sumpahkan dan Dia restui! Pernahkah kau fikir
binatang-binatang itu engkar dengan Allah? Lihatlah seekor lembu yang
begitu redha dan tenang di saat kematiannya ketika kau sembelih untuk
Qorban..dia berbakti kepada manusia demi Tuhannya! Kau lihat air tidak
pernah menderhaka lalu cuba mengalir dari hilir ke hulu!
itulah lailatul Qadr..semuanya tunduk kepada KeesaanNya setiap waktu
tanpa batasan hari dan waktu, 10 malam terakhir itu hanya malam latihan
untuk melihat secara batinnya pada bila-bila masa juga..

Wak : sebab itulah malam itu datang hanya kepada orang2 yang beriman dan beramal
soleh saja? walaupun ada seseorang yang tidak tidur sepanjang malam selama
10 hari itu menunggu tetapi dia tak akan berjumpa?

Silbi : ah! buat apa menunggu saja! lailatul Qadr itu nikmat..kau boleh bersuka-
sukaan dengan nikmat itu..ketika itu air membeku..cahaya malam amat
menggembirakan, bidadari menyanyi,.malaikat turun bagai kerdipan cahaya
beramai-ramai ke bumi...di mana? jomlah ke disko..semua tu ada di sana!

wak : Brengsek luu!! Nyah kau! mula nak menyimpanglah tuu!!

Silbi : hahaha!! gurau pun tak boleh!! (terus lesap)


Wak tertidur selepas itu dan sedar ketika azan subuh berkumandang....baru Wak teringat kenapa air minum wak semasa kedatangan Silbi tadi membeku seperti agar-agar! Aku terlepasss!!

Sunday, September 14, 2008

Part3- Berdialog dengan Iblis!

Silbi datang lagi menjelang Maghrib 5 minit sebelum berbuka...

Silbi : amboi besarnya serban kau! awas jangan sampai terbelit otak tu, nanti tak boleh
berfikir! hahaha!!

Wak : ciss!! Terperanjat aku..hisy!! aik? Bukankah kau dirantai bulan puasa ni? Macam
mana kau boleh lepas?

Silbi : Goblob! Yang dirantai iblis dalam badanmu, bukan aku! itupun kalau seseorang tu
mampu merantainya! takde kena mengena dengan aku! Kalau tidak masakan ada
kes rogol, bunuh dan fitnah di bulan Ramadhan ni!!

Wak : Aku faham! Tapi kau puasa tak?

Silbi : Jangan sibuk dengan amal ibadat orang lain.jaga diri sendiri! Ramai masih tak
faham lagi! Adakah aku yang kena rantai..satu lagi bab lontar jamrah! Adakah
aku yang dilontar? Takkanlah aku nak pergi duduk kat situ dilontar percuma je?
hihihi!!

Wak : Habis tu?

silbi : Yang harus dilontar adalah setan di dalam diri tu supaya bersih hati! Ni penat2
lontar kat Mekah, balik negeri bertambah sombong..hahaha!!

Wak : Ya! SOMBONG! itulah sifat warisan kau! Dulu kau yang paling hebat dan tinggi
ilmu daripada malaikat yang lain..tapi waktu Malaikat lain risau melihatkan satu
nota di Arasy bahawa ada seorang malaikat akan disingkir dari syurga, kau rileks
je kerana merasakan bukan kau..sebab kau paling alimkan?

silbi : eh? jangan ulang cerita tu...huk!Huk!

Wak : lalu semua malaikat berjumpa kau meminta kau berdoa agar mereka diselamatkan
dari tersingkir, ingat tak Azazil?

Silbi : ah!! mengapa panggil aku dengan nama lamaku itu? huuu!!

Wak : Lalu kau mendoakan agar mereka semuanya selamat..tapi kau terlupa mendoakan
untuk diri kau sendirikan?..hahaha!!

Silbi : sudah! sudah! takpelahh!! tapi ceritaku belum habis lagi tadi... dalam solat pun ada
'acara' lontar jamrah tau? 7 kali untuk bersihkan diri..

Wak : ye ke? rukun yang mana?

Silbi : hahaha!! rahsialah bodoh..kan aku lebih alim dari kau! sebelum aku jawab soalan
tu kau jawab dulu soalan aku..tu serban yang kau pakai tu, ekornya di kiri, di kanan
atau di tengah?

Wak : itu huruf "miim"..Mim awal muhammad!

Silbi : ok..dah! cukup! Aku balik dulu..panas aku duduk dengan kau!! Esok datang lagi!

Wak : hey! nanti dulu..tak habis belasah kau lagi.....

.......................patutlah! dah azan Maghrib!

Saturday, September 13, 2008

Part 2- Berdialog dengan Iblis!

Silbi datang lagi malam tadi setelah gagal datang malam sebelumnya..

Wak : Kau memang makhluk laknat! janji tak ditepati!

silbi : Oh! Aku sibuk menggoda seorang alim agar berhenti beribadah dan turun ke
lembah maksiat..2 hari akhirnya aku berjaya!hahaha!!

Wak : kau memang makhluk yang sesat lagi menyesatkan!!

silbi : aii..dah itu kerja aku! Itu sumpahku pada Tuhan..kalau aku tak menggoda maka
terbatallah amanah yang Tuhan berikan..berdosalah aku!!

Wak : Allah kata kau takkan berjaya!

silbi : Nabi juga berkata dalam khutbah wida'nya yang aku dah berputus asa menggoda
dalam hal-hal yang besar..lalu aku menggoda dalam hal2 kecil saja..aku berjaya!

Wak : Kerana kau si alim itu sesat!

silbi : eh! kenapa salahkan aku? aku tidak menjanjikan apa-apa padanya, aku cuma bagi
bayangan keseronokan saja, dia yang gagal dan percayakan aku! Bacalah surah
Ibrahim ayat 21-23.. aku tak janjikan apa2!

Wak : kau janjikan keseronokan dunia!

silbi : hanya Allah saja yang berhak menjanjikan kebahagiaan dunia akhirat..Aku bukan
Tuhan dan tak pernah mengaku Tuhan! nilah bezanya kita..manusia lebih sesat
dari aku kerana ada yang mengaku jadi tuhan..macam Firaun!

Wak : Kau patuh pada Tuhan?

silbi : Ya! Tuhan luluskan sumpahku untuk menyesatkan keturunan Adam dan aku
mesti patuh dengan persetujuan itu! Aku mesti tunduk pada Tuhan!

Wak : Mengapa kau tak mahu sujud pada Adam?

silbi : sebab yang hanya patut disujud dan dipatuhi perintahnya ialah Allah!!

Wak : siapa yang perintahkan sujud pada Adam? Allah bukan? Kenapa tak patuh?

silbi : aaaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!

(dan silbi berkecai menjadi api...)

Thursday, September 11, 2008

Berdialog dengan Iblis.. (part 1)

..malam tadi Silbi janji nak datang esok selepas kami berdialog di tengah malam buta..
Wak mulanya agak terkejut bila melihat muka Silbi..

Wak : mengapa kau pinjam muka aku?

Silbi : ah! aku tiada rupa..jadi aku pinjam rupa kau..

Wak : tahu pun kau tak sesempurna manusia..jadi mengapa kau enggan sujud Adam?
Kau kata kau dari api..mulia sedangkan kau tidak selengkap Adam..tiada berjasad!

Silbi : Aku tidak mahu sujud kepada Adam

Wak : Mengapa?

Silbi : Kerana hanya Yang Maha Esa saja tempatku sujud..aku tidak mahu sekutukan
Dia yang satu..hanya Dia berhak aku sujud..dan patuh!!

Wak : err....

Silbi : HAHAHAHAHAHAAH!!!

(sILBI HILANG...CIS!!ESOK wAK AKAN BALAS DENDAM BIAR DIA PULA TERPAKU!

Wednesday, September 10, 2008

Lelaki yang berpuasa 365 hari berturut-turut!

Wak ditanya oleh Gusti baru-baru ini apa itu puasa? ..dan mengapa di bulan Ramadhan bukan bulan lain?

"Jangan jawab kepadaku puasa itu menahan lapar dahaga atau perkara2 yg membatalkannya seperti dalam buku sekolahmu, atau untuk mengenang orang yang kesusahan? Bulan lain kamu tak ingatkah pada mereka?

"untuk memperingati Perang Badar!" ..

"lagi salah!"

(peristiwa ini berlaku lebih kurang 17 tahun yang lalu)

" Untuk mensucikan diri kita sebagaimana sucinya kita di dalam kandungan ibu, tidak makan-minum, tiada maksiat sebaliknya hanya beribadah ..sebab itu letaknya di bulan ramadhan, bulan ke 9 dalam Islam simboliknya 9 bulan berpuasa di dalam kandungan ibu..bulan ke 10 sudah lahir ke dunia dan boleh makan minum sebab itu 1 Syawal haram berpuasa!!"

"oohh!" jawab Wak...

- sejak itu Wak terus coba "berpuasa" seluruh pancaindera, anggota deria dari perkara2 mengotorkan tanpa henti2 setahun 365 hari hingga ke hari ini!

Tuesday, September 9, 2008

Tidur di Masjid kucing di Mekah!

Masjid Kucing di Kota Mekah

Wak tiba di Malaysia hari pertama puasa... bila sebut puasa Wak teringat setahun yang lalu di Masjid Kucing di kota Mekah 400m dari Masjidilharam..

Ketika berbaring-baringan di dalamnya menunggu waktu Zohor, Wak terpandang seorang pemuda sedang mengisi air paip ke dalam sebuah buyung..anehnya buyung itu bocor di bontotnya mustahillah buyung itu akan penuh..Wak mendekatinya!

"apa yang kau buat saudara?" tanya Wak. Kelihatan anak muda ini agak kurang mesra orangnya.

"Guruku menyuruh agar aku isikan air ini ke dalam buyung" ujarnya acuh tak acuh kerana merasa kerjanya diganggu.

"bagaimana hendak penuh sedangkan di bawah buyung itu bocor?" Wak menegur kerja sia-sianya.

"Aku ditugaskan guruku hanya untuk mengisi air ke dalam buyung ini, sama ada buyung ini bocor atau tidak ia adalah urusanmu, bukan urusanku..

dan Wak pun meninggalkan pemuda itu tanpa sepatah kata......

( dulu kawan Wak bagitahu di Mekah ada sebuah masjid diberi nama "masjid kucing" kerana banyak kucing di situ.. mulanya Wak percaya tapi apabila sampai di sana tiada langsung kucing..rupa2nya semua tu tak betul.. masjid itu dibina oleh sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Abu Hurairah r.a.. Nabi menggelarkan beliau abu Hurairah (Bapa Kucing) kerana pernah beliau bertemu Baginda SAW sambil membawa kucing dengan penuh sayang..)

Saturday, September 6, 2008

anak bunian di kaki Gunung suralaya!

sedih wak hendak tinggalkan Perkampungan ini tetapi apakan daya...terpaksa! jumpa lagi Dewiku... moga pintu hatimu dibuka untukku..

Sampai di kaki gunung suralaya Wak bingung kerana terlupa mana satukah di antara dua simpang di hadapan hendak menuju ke kota...lalu Wak terpandang seorang kanak-kanak yang agak aneh, wangi baunya..mengapa seorang diri di hutan ini?

"Anakku! mengapa seorang diri bermain di sini?" tanya Wak..

"Ke mana pun kita berada, Dia tetap menemani kita!"..wah! anak bunian berusia 10 tahun ini petah menjawab..

"Anakku! bolehkah tunjukkan aku ke mana jalan menuju ke kota?" tanya Wak

"oh.. simpang kanan ini!" ..

Wak pun meneruskan perjalanan selepas mengucapkan terima kasih kepada anak kecil berbau kasturi itu.. tapi alangkah terkejutnya Wak apabila mendapati Wak sampai ke kawasan perkuburan!..Geram dengan kanak-kanak ini yang cuba memperdayakan Wak, wak pergi mendapatkannya yang ternyata masih duduk di situ..entah apa yang dibuatnya!

"Wahai anak! kau coba mempermainkanku ya? aku tanya jalan ke kota kau tunjukkanku jalan ke kuburan?" Marah betul Wak..

"bukankah kota itu suatu tempat yang makin hari makin bertambah penduduknya dan berlumba2 orang berhijrah ke sana?"
.......dan anak ini hilang begitu saja selepas kelipan mata wak bertukar!

Thursday, September 4, 2008

bertemu dewi ratna di gunung suralaya (part 7)

wak akan berangkat pulang ke Malaysia malam ini setelah 7 hari 7 malam di Gunung Suralaya. ketika berkemas, kepala Wak terasa pening lalu Wak menampal koyok di kiri kanan dahi. Kemudian pergi mencari Kartolo, meminta lelaki tua si tukang kebun itu memicit2 bahu dan tengkuk Wak.
Berasa sakit sedikit kurang, wak pun berjalan pulang ke kamar wak semula, berselisih dengan Dewi Ratna di pertengahan jalan..

"mengapa kau memakai koyok Jono?" Dewi bertanya, pastinya berasa cemas akan kesihatanku.

"kepalaku sakit" jawab Wak..

"celaka kau Jono..seumur hidupmu diberikan Tuhan kesihatan yang baik, dengan hanya sedikit sakit kepala kau cuba memprotes Tuhanmu dengan memakai koyok itu?" selar Dewi membuatkan sakit Wak hilang..

....entah kesalkan apa Wak terus menangis di kamar!

Tuesday, September 2, 2008

Bertemu Dewi di gunung suralaya (part 6)

tinggal di sini seakan tak terasa waktu berlalu..6 hari 6 malam mental wak dibelasah Gusti, Karteni dan dewi... ada yang belum Wak ceritakan lagi apa yang Gusti Adipati Timoer sampaikan..lain kali saja!!

Esok Wak akan pulang ke Malaysia..kesempatan ini wak ambil dengan pergi menjala ikan di sungai di kaki gunung Suralaya..sejuk airnya! Anehnya sejak pagi tadi hingga jam dua wak tidak dapat seekor ikan pun.lalu Wak berehat di tepi tebing..tidak jauh dari tempat Wak berehat ada seorang lelaki tua yang sedang mengail..anehnya dia mendapat ikan yang banyak..

"barangkali hari ini sial bagi saya..langsung tidak dapat seekor ikan pun..tapi bapak nampaknya lumayan!," sapa Wak.

"kalian barangkali dari Malaysia bukan? apa pekerjaanmu di sana?" orang tua ini membuatkan Wak terkejut kerana tekaannya betul.

" saya peniaga pakaian!" jawab Wak..

"jadi apa kekurangan yang kalian dapat jika kalian tidak memperolehi seekor ikan pun? Kalian ada perniagaan di sana? Aku sudah tentu diberi rezeki oleh Tuhan kerana ini mata pencarianku!".

"ya! Tuhan memang adil bapak," balas wak."Cuma kadang2 saya enggak sedar saya mencerca Tuhan kerana dia tidak memberi apa yang saya pinta..walhal saya selalu dapat rezeki yang telah dikhaskan untuk saya," Wak mengalah bukan saja-saja. Ada kebenaran pada kata-kata si Tua yang bukan sebarangan orang ini..

"Ah! Sudah asar! ayuh solat!".. Orang tua ini terus bertayammum dan mengerjakan solat..
Wak terpinga-pinga lantas mengambil wudhuk dan sembahyang di belakangnya..
sehabis solat Wak bertanyakan soalan yang memang wak dendami sejak tadi..

" Bapak! Mengapa bapak bertayammum sedangkan tidak sampai 10 langkah ada sungai yang mengalir untuk kita berwudhuk?"

"Apakah kau yakin aku akan hidup dan sempat bersolat dalam perjalanan 10 langkah untuk berwudhuk itu?Aku tidak mahu mati sebelum sempat menunaikan sebarang waktu solat dengan sengaja"..

Wak bungkam....

Monday, September 1, 2008

bertemu Dewi Ratna Ratu Indera di Gunung Suralaya (Part 5)

..lepas Maghrib Wak keluar ke halaman..sedang asyik bermenung, Wak terlihat kerlipan cahaya di pohon kelapa tidak jauh dari Wak..
Wak pergi mendapatkannya..terasa ghairah untuk mendekatinya...ketika makin hampir Wak dengar suara merdu seakan menangis mendayu di bawah kerlipan cahaya itu..cukup sayu tangisan itu sehingga meruntun Wak..

harus menjalar dalam dan jauh
bicara sang pohon keramat tua
kalau mahu matahari menyimbah karuniaNya
lagi tinggi lagi jelas pandangan
mudah baca cabaran mendatang
mudah buat perkiraan..matang tepat ke sasaran
hujan tak datang bumi kontang
hati tak resah atau rasa gundah
bila mentari membenamkan mata air
itulah pesanan Luqman pada puteranya di waktu dhuha
dia pergi mencari suara emas.

Harum bau itu segera membuat Wak dapat mengecam yang Dewi Ratna sebenarnya di situ sedang berzikir dan berdoa...

"Ilahi wa sayyidi wa maulayya, dengan berkat kecintaan-Mu kepadaku, maka ampunkanlah dosaku," rintih sang Dewi.. Wak turut terasa syahdu!

"Wahai Dewi! Mengapa engkau menyatakan "dengan kecintaan-Mu kepadaku" mestinya engkau menyatakan "Dengan kecintaanku kepada-Mu"..dari mana kau tahu Tuhan mencintaimu?"..

Dewi terkejut dengan kehadiran Wak tapi pantas menjawab,"Jono! Pergi kau dari sini! Ketahuilah bahawa cinta Allah itu lebih jauh dari cintaku kepadaNya,"

Dewi menyambung,"Tahukah kau Allah SWT mempunyai kaum yang dicintainya dan mereka pula mencintai Allah?..cinta Allah lebih dahulu..lalu Dewi membaca ayat Al Quran dari Surah Al-Maidah, ayat 54.

"Maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintainya, dan mereka mencintaiNya"

Wak yang dari tadi tertunduk cuba mengangkat kepala dan alangkah terkejutnya apabila Dewi sudah tiada lagi di situ..

...... meninggalkan cahaya, wangian dan seribu teka-teki!
...(bersambung)